Friday, 12 March 2010

This blog has moved


This blog is now located at http://penakembara.blogspot.com/.
You will be automatically redirected in 30 seconds, or you may click here.

For feed subscribers, please update your feed subscriptions to
http://penakembara.blogspot.com/feeds/posts/default.

Tuesday, 9 March 2010

AL-FATIHAH UNTUK ALLAHYARHAM DR. UMAR JUNUS


Dr, Umar Junus foto tahun 1981 dari WAJAH terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.


Buku Dari Kata Ke ideologi kumpulan esei Dr. Umar Junus selenggaraan Dr. Awang Sariyan

Saya dikejutkan oleh panggilan telfon Jaafar Rahim kira-kira 7,30 pagi ini.
Dah dengar berita? Belum. Pak Umar dah meninggal. Innalillah!
Bila? Malam tadi 9.00 malam. Oleh kerana masih berada di luar Kuala Lumpur maka tidak ada peluang untuk menziarahinya buat kali terakhir.

Memang sudah lama juga tidak ada perkabaran daripada beliau kerana mengikut Awang Sariyan beliau dalam keadaan uzur. Satu ketika, semasa bertugas di Penerbit Fajar Bakti saya berkesempatan mendekati Allahyarham dengan lebih dekat. Malah Dr. Awang Sariyan memperkenalkan saya kepadanya dan Awang mencadangkan supaya saya memberi pertimbangan kepada manuskrip berupa kumpulan esei pilihan Umar Junus yang diselenggarakan Awang pada awal tahun 1985, saya teruja untuk menerbitkannya setelah nanti mendapat kelulusan pihak pengurusan.

Manuskrip itu akhirnya diterbitkan dengan judul Dari Kata Ke Ideologi: Persoalan Stilistik Melayu pada tahun yang sama (1985). Buku setebal 263 halaman itu memuatkan 18 esei pilihan Umar Junus lengkap dengan temu bual penyelenggara (Awang Sariyan) dengan Umar Junus. Ke lapan belas esei itu dikelompokkan kepada empat kategori, iaitu (1). Pengantar ke Stilistik, (2). Penilaian Stilistik, (3). Stilistik Menurut Zaman, dan (4). Penulis Dengan Audien.

Bagi Penerbit Fajar Bakti , kedatangan manuskrip itu bagaikan sebuah permata yang “datang bergolek” apatah lagi ia disusun oleh seorang ahli bahasa kawakan seperti Awang Sariyan. Dalam proses penerbitannya, saya meminta Allahyarham Ma’rof Saad mengendalikannya. Ma’rof baru sahaja beberapa bulan bertugas di Fajar Bakti tetapi pengalamannya mengasuh Dewan Sastera bersama-sama Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) dan Shamsuddin Jaafar, ketika bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka meyakinkan saya tentang kemampuannya. Ma’rof ditunjuk ajar oleh editor kanan Fajar Bakti. Abdul Majid Baharom yang bertugas sebagai Ketua Bahagian Perkamusan, Bahasa dan Sastra.

Saya tertarik dengan manuskrip ini, terutama yang berhubung dengan teks temu bual yang dikaitkan dengan sikap dan pemikiran Umar Junus. Temu bual antara Awang Sariyan dengan Umar Junus berlangsung pada 6 Februari 1984. Keseluruhan temu bual adalah tentang beberapa persoalan stilistik dan sastera Melayu. Kadang-kadang terfikir juga bagaimana seorang ahli bahasa seperti Awang Sariyan begitu berminat untuk menyelenggarakan esei-esei Umar Junus yang hampir keseluruhannya pula berlandaskan sastera dan kesasteraan. Dan Lebih menarik pula apabila Awang Sariyan memulakan dengan soalan pertamanya seperti berikut:

“Mula-mula saya harap Umar Junus dapat memberikan tanggapan umum terhadap sastera sebagai satu kreativiti dan eagai satu disiplin, kerana sastera dapat dilihat sebagai satu kegiatan kreatif dan dapat juga dilihat sebagai satu disiplin imu. Jadi apakah pendapat Pak Umar tentang dikotomi sastera sebagai sastera kreatif dan non-kreatif?”

Umar Junus: Dalam hubungan ini kita mesti membedakan sastera kreatif yang lebih merupakan satu kegiatan penghasilan karya sastera daripada sastera yang satu lagi, iaitu ilmu sastera. Dalam hubungan ini, yang kedua itu mesti merupakan satu ilmu dengan dasar-dasar teorinya sendiri ataupun dengar dasar-dasar penelitiannya sendiri. Persoalannya sekarang adalah tentang ilmu sastera. Ilmu sastera boleh dikatakan suatu hal yang sangat baru, dengan erti bahawa baru-baru ini orang mempersoalkan teori-teori yang berhubungan dengan sastera sahaja.

Sebelumnya orang lebih banyak membicarakan sastera dengan menggunakan common sense, misalnya karya ini baik dan sebagainya. Hanya beberapa adjektif saja yang dapat digunakan tanpa melihat sistematiknya. Mereka tidak pernah melihat karya sastera sebagai suatu sistematik. Dalam ilmu sastera kita berusaha untuk mendapatkan karya sastera sebagai suatu sistematik kerana dalam hubungannya sekarang ada berbagai-bagai sistematik yang digunakan orang untuk menemukan sistematik yang ada dalam karya sastera.

Dengan itu ada berbagai-bagai perkembangan seperti strukturalisme, dekonstrukturalisme ataupun reception aesthetics ataupun bermacam-macam hal yang mencuba melihat sesebuah karya dalam satu kerangka yang sistematik. Ini tidak menghindari atau menghalangi adanya anggapan bahawa karya sastera itu adalah satu-satunya yang kreatif. Itu hakikat penciptaan sastera yang kreatif, tetapi dalam penganalisaanya kita mesti melihatnya sebagai sesuatu yang dikuasai oleh satu sistematik.

Dalam hubungan dengan bahasa Umar melihat adanya sumbangan linguistik kepada perkembangan penelitian tentang hubungan bahasa dan sastera. Umar menyatakan suatu hal yang negatif terhadap perkembangan teori yang ada. Menurutnya, jika hanya seseorang itu hanya melaksanakan teori yang ada dengan langkah-langkah yang sedia ada, munkin dia tidak akan sampai kepada hal itu. Katanya, kita mesti mencari hakikat sesuatu teori, bukan langkah-langkahnya.

Pada akhir temu bual Awang Sariyan ingin mendapatkan pandangan Umar terhadap perkembangan sastera dan penyelidikan sastera Melayu.

“Saya mengharapkan bahawa seseorang penulis akan dapat mengembangkan dirinya sehingga menghasilkan karya-karya yang berbeda daripada karya sebelumnya; dan seorang peneliti perlu sekali membekal diri mereka dengan teori-teori untuk mengembangkan diri mereka sendiri supaya dapat melihat karya kita, terlepas daripada aplikasi dari teori luar secara ketat.”

Dalam kata pengantarnya, Awang Sariyan pada mulanya menghadapi kesulitan mengikuti jalan pemikiran penulisnya. Awang Sariyan tak dapat dengan mudah menemukan sesuatu maklumat yang biasanya dengan mudah diperoleh Awang Sariyan tentang yang berkait dengan sastera. Demikianlah Awang ketika mula-mula mengikut tulisan Umar Junus tentang sastera. Hal itulah akhirnya mendorong Awang Sariyan untuk mengenali sikap dan pemikiran Umar Junus dengan lebih dekat, terutama yang ada kaitannya dengan stilistik sastera.

Awang Sariyan yakin tulisan Umar Junus kuat pertaliannya dengan sikap dan cara kerja Umar Junus dalam meneliti sastera. Umar cuba membawa suatu perspektif yang menurutnya lebih wajar untuk sastera Melayu. Umar Junus ingin menujunkkan bahawa peneliti sastera seperti kata Umar Junus “tidak perlu terikat kepada teori yang dipelajarinya.” Tetapi ia tidak bererti bahwa Umar Junu menolak teori yang ada. Umar Junus malah menganjurkan bahawa peneliti sastera harus peka terhadap perkembangan teori. Namun yang penting bagi Umar Juns ialah usaha mengembangkan sesuatu teori itu sesuai dengan kenyataan yang ada dalam sastera kita.

Di bahagian akhir kata pengantarnya Awang Sariyan menulis bahawa Umar Junus menimbulkan beberapa banyak hal yang kontroversial tetapi penting. Umar Junus mengajak pembaca memahami erti sastera, perkembangan teori-teori sastera, soal ideologi dalam karya sastera, persoalan isi dan bentuk, soal keindahan sastera, metodologi penelitian sastera, sosiologi sastera, hakikat Sejarah Melayu yang sebenarnya, komitmen penulis, dunia penulis dan dunia pembaca dan hubungannya dengan bahasa satera.. Awang Sariyan menyiapkan Kata Pengantar ini pada 8 Mac 1984, iaitu pada hari ini 26 tahun yang lalu.

Demikianlah Allahyarham daripaada kaca mata Awang Sariyan yang berjaya mengumpulkan 18 buah daripada esei terbaik Umar Junus dalam bidang sastera. Khabarnya karya terbaru Allahyarham telah pun diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, tetapi entah di mana silapnya naskhah pengarang belum sempat diterima Allahyarham yang dalam keadaan uzur beberapa waktu. Saya pasti Allahyarham tentunya akan melihat karya terakhirnya itu dengan rasa puas dan syukur, Namun Allah lebih menyayanginya.
Allahyarham adalah anak kelahiran Silugkang, Sumatera Barat, daerah yang terkenal dengan kain pelikat silungkang pada 2 Mei 1934. Dalam usia 76 tahun, Allahyarham merupakan seorang pengkritik sastera yang sangat produktif. Allahyarham adalah lulusan sarjana sastera dari Universitas Indonesia (UI) di Jakarta dan memperoleh ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Malaya pada tahun 1983. Allahyarham seangkatan dengan pengkritik HB Jassin.

Wikipedia Indonesia menyebut dalam dunia penulisan esei dan kritikan, Allahyarham banyak menulis dalam Bahasa Melayu dan pernah juga menulis karya ilmiah dalam Bahasa Inggeris bagi jurnal luar negeri. Ia mula berkecimpung dalam bidang ini sejak tahun 1953. Buku-bukunya termasuklah Perkembangan Puisi Melayu Moden; Sosiologi Sastera; Persoalan Teori dan Metode dan antologi eseinya dalam Catatan Si Malin Kundang.
Buku terbaru yang tidak sempat dipegangnya ialah Perkembangan Gaya Bahasa BM. Buku ni diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Thursday, 11 February 2010

MATLOB MENUNGGU KELAHIRAN "COMELNYA"


Pak Matlob di rumah barunya di Kg. Semerah Darat, Batu Pahat.

Awal Februari 2010 yang lalu saya ke Batu Pahat mengunjungi Pak Matlob (Hj. Mokhtar Talib)yang telah berpindah ke rumah baru di Kg. Semerah Darat, kira-kira 1 km dari rumah lamanya di Kg Semerah Laut. Rumah barunya ini lebih selesa, tenang dan aman berbanding rumah lamanya yang terletak di tepi jalan besar Muar-Batu Pahat. Bagi Matlob, 72 tahun, suasana ini amat diperlukannya untuk terus menghidupkan cita-citanya untuk memberi pendidikan tak formal kepada anak-anak bangsanya.

Kali terakhir saya menemuinya adalah di Kuala Lumpur di rumah Kamaluddin Lela di Sungai Buloh bulan Mei 2009 lalu. Kami berbincang tentang penerbitan majalah kanak-kanak, bidang yang hampir sinonim dengan kehidupan Matlob, sebagai bekas pendidik. Inilah tokoh yang kita kenal dengan “pandai Jawinya”yang tersiar dalam Utusan Melayu tidak lama dahulu. Matlob bercerita tentang cita-citanya untuk menerbitkan majalah kanak-kanak seperti “Tunas” yang pernah diasuhnya dahulu.

Dan ketika di rumah barunya di Kg Semerah Darat, Matlob masih bersemangat untuk melahirkan majalah yang beliau telah beri nama “Comel”. Katanya, “ Saya masih mencari penaja untuk membantu kos. Kamu boleh tolongkan. Maksud saya dari segi isinya?”

“Tidak ada masalah.”

“Kamu agak boleh jalan ke majalah ini?”
Pertanyaan itu amat membimbagkan kerana majalah kanak-kanak seperti yang dimahukan Matlob itu (dalam tulisan jawi dan rumi) jarang sangat mendapat pulangan yang menguntungkan. Matlob perlu mengambil kira pengedar, penjual dan pembeli. Lebih-lebih lagi pemungut hasil pendapatan. Jika Matlob masih bersemangat untuk meneruskan cita-citanya itu ada baiknya beliau menghubungi DBP atau penerbit-penerbit besar lagi mapan yang lain bagi meminta kerjasamanya dalam semua bidang, seperti penerbitan, pengedaran, penjualan dan pemungutan hasil. Tanpa kerjasama DBP dan penerbitan-penerbitan ini terlalu sukar bagi Matlob untuk melaksanakannya.

Harap-harap kesulitan yang bakal dihadapi Matlob untuk memenuhi cita-citanya akan dapat diatasi. Kemudian Matlob perlu juga mengambil kira usianya yang kini sudah melebih tujuh dekad. Kekuatan mental dan semangatnya perlu diimbangi dengan kekuatan fizikal agar cita-citanya ini tidak terbentur di tengah jalan. Matlob akan memperoleh bantuan daripada kawan-kaawan, pasti tetapi hanya dalam bidang editorial dan usaha mendapatkan bahan-bahan. Selebihnya Matlob perlu mengusahakanya sendiri. Barangkali inilah masalah yang masih membelenggu pemikiran Matlob ketika saya minta diri selepas sejam bersamanya di rumah baru dan tempat barunya. Matlob kelihatan Matlob masih terus memburu cita-citanya untuk melahirkan “Comel” yang bakal menjadi bayi kesyangannya nanti.

Wednesday, 20 January 2010

TAHNIAH KEPADA MAHAYA YANG TERUS TERAJUI PEN

Pen tetap pilih Mahaya


KEMENANGAN Ketua Satu Persatuan Penulis Negeri Sembilan (Pen), Mahaya Mohd Yassin mempertahankan jawatannya yang dipegang sejak tiga lalu, membuktikan perwakilan masih selesa dengan kewibawaannya serta kepimpinan lama.

Perwakilan menzahirkan hasrat itu apabila lebih 50 ahli persatuan itu sebulat suara melantik kembali Mahaya sebagai peneraju Pen untuk dua penggal 2010-2011 pada Mesyuarat Agung Pen Ke-33 di Dewan D’Ark, Senawang, Negeri Sembilan, Sabtu lalu.

Dr Mahdi Abdul Wahab menang tanpa bertanding untuk kerusi Ketua Dua, Setiausaha I, Datin Sabarriah Shukur, Nisah Haron (Setiausaha II) dan Norhazlin Yahya (Bendahari).

Tujuh ahli jawatankuasa yang dipilih ialah Amiza Khusyri Yusof, Dr Ani Omar, Norhana Bakhary, Noraziah Abdul Aziz, Sharifah Salha Syed Ahmad, Faizal Said dan Zalila Isa manakala; pemeriksa kira-kira, Siti Zaleha Mahadi dan Abdul Amin Mohd Kassim, kekal dengan jawatan itu.

Mahaya ketika berucap selepas pemilihan melahirkan ucapan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan semua ahli persatuan terhadap kepimpinan beliau dan berjanji akan cuba mempergiatkan usaha memartabatkan bahasa Melayu secara lebih aktif.

“Kami selaku pimpinan untuk penggal baru, akan cuba menambah baik aktiviti sedia ada dan melaksanakan pelbagai aktiviti membabitkan penulis dan masyarakat yang sudah dirancang mengikut lunas perlembagaan persatuan dan berharap ahli akan bekerjasama dengan kami,” katanya. (Petikan Berita Harian 20 Jan. 2010)

Komen:
Selain Mahaya, ada Nisah Haron dalam kepimpinan Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) yanG turut terpilih. Nama-nama penulis yang sering menghiasi dada akhbar dan majalah tidak lagi kelihatan. Tidak pasti apakah mereka memberi laluan kepada penulis-penulis muda Negeri Sembilan atau mereka barangkali telah "begitu uzur' untuk meneruskan pentadbiran persatuan.

Biar bagaimanapun, tenaga muda dengan inspirasi baru ini diharap akan melonjakkan lagi PEN pada masa akan datan, khususnya dalam kegiatan menerbitkan lebih banyak karya ahli-ahli PEN. Adalah dirasakan tugas utama persatuan penulis ialah meningkatkan daya kreativiti untuk ahli-ahlinya di samping mempertingkat usaha menerbitkan hasil karya ahli. DI sini letaknya tanggungjawab moral Mahaya sebagai Ketua Satu PEN.

Dalam pada itu turut berdukacita atas pemergian anak seni, pengkaji dan pensyarah filem terkenal, Dr Anuar Nor Arai, akibat serangan jantung di Pusat Perubatan Selangor, di sini, 20 Jan. 2010

Allahyarham berusia 66 tahun menghembuskan nafas terakhir di sisi isterinya, Zaharah Ibrahim serta dua anak perempuan dan menantunya kira-kira jam 5.20 petang.

Jenazahnya dibawa ke kediamannya di Seksyen 19, di sini dan dijangka dikebumikan selepas solat Zuhur di Tanah Perkuburan Seksyen 21, hari ini (21 Jan 2010.)

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas Rohnya. Amin!

Tuesday, 12 January 2010

YANG PERGI DAN YANG MASIH BERNAFAS


Allahyarham Saled Daud (kiri) dan Allahyaham Hassan Mohamad Ali sedang bersiaran di pekan kobi Dumai dalam perjalanan pulang dari kunjungan Gapena ke Sumatera Barat. Gambar A.F.Yassin,tahun 1980an.

Inilah resam dunia. Yang pergi ya pergi dan yang datang ya datang. Bercakap tentang yang pergi ini dalam beberapa minggu dan bulan ini berlalu telah pergi beberapa kawan penulis kita yang tidak akan kembali lagi. Terbaru perginya mantan bendahari Gapena, Cikgu Hassan Mohamad Ali yang sebelum ini didahului mantan bendahari yang lagi seorang, Allahyarham Saleh Daud. Kedua-dua tokoh Gapena ini pernah karib dan intim dan bila berjalan sering berdua-duaan.

Beberapa bulan sebelum ini pergi pula penulis Dharmala NS, Norhalim Ibrahim, Rashid Ngah dan the last of the Mohicans Sahmad Malaya. Mereka pergi dengan sumbangan persuratan terpahat di dalam khazanah kesusateraan negara.

Bagaimana dengan yang masih meneruskan usia? Ingin pula saya bertanya khabar kepada penulis-penulis lama yang kelihatannya kurang aktif berkreatif. Bagaimana khabarnya kawan-kawan seperti penyair Shamsuddin Jaafar di Shah Alam yang telah lama menghilang; Kemala yang masih melekat di menara gading, Pak Habib (Syed Hussein Al-Attas) yang dengarnya baru menerbitkan Malaysia without Malays,Ramli Isin di Jiboi, Seremban Sutong Umar RS dan rakan kongsinya Dinsman. Ya, M.Noor Azam yang terkenal dengan buku Perpektifnya apa cerita?

Di pantai timur bagaimana pula khabarnya penulis-penulis kawakan seperti Norhisham Mustaffa di Kota Bahru,Shariff Putera di Kuala terengganu, Ibrahim Omar di Pahang atau Mansor Abullah (yang bersemenda dengan orang Pahang sebelumnya) di Kinrara. Di selatan tanah air, bagaimana pula dengan penyair Zam Ismail di Johor Bahru(agaknya masih mengurus Yayasan Warisan Johor), Juma'anah Abd. Bunga di Lumut, A.Shukor Haron (anak Pontian) , Amida Abd Hamid yang menetap di Kajang, Pak Matlob di Batu Pahat atau Jaafar HS (yang ghaib entah di mana). Dahulu, Tokoh-tokoh ini amat berbisa puisi dan kritikannya. Mereka masih bernafas tetapi "nafas kreatifnya" bagaikan terhenti atau masih nyawa-nyawa ikan.

Malah di utara, di Kedah, mialnya, kita masih membaca nama-nama besar seperti Azizi Haji Abdullah, Kassim Ahmad atau Puzi Hadi. Di Perlis ada pula Nazel Hashim, Rejab F.I, Abdul Ahmad, Fawana dam Rahman Shaari (menetap di Bandar Baru Bangi)?

Terlalu ramai tokoh persuratan yang nampaknya "uzur" dari sudut kreativiti. Hanya baru-baru ini terdengar berita tentang penyair dan tokoh akademik dari Gombak, Siti Zainon Ismail melancarkan enam bukunya serentak oleh Pak Samad Said, khabarnya di Bangsar. Tahniah dan tahniah sekali lagi kerana pelancaran itu mungkin ada kaitannya dengan hari ulangtahun beliau yang ke-60. Siti Zainon atau panggilan manjanya "Izan" tentu tidak akan lupa tentang kegiatan Anak Alam pada tahun 1970an dahulu dan susah deritanya menuntut ilmu di Jojakarta.

Salam buat semua dan buat yang telah pergi hanyalah panjatan doa semoga "allahyarham berada di sisi Allah S.W.T. Amin! Dan yang masih bernafas takkan nak terus "bernafas dalam lumpur" sahaja.

Friday, 4 December 2009

BUKU CATATAN PERISTIWA SASTERA OLEH AHMAD FADZIL YASSIN

Buku terbaru a.f.yassin ini adalah tentang catatannya dalam bidang persuratan sejak dua dekad yang lalu. Di kulit belakang buku ini ada dinyatakan: Pembaca akan mengetahui riak dan gelombang dunia sastera Melayu yang berlaku dalam dua dekad yang lalu.Buku ini adalah yang kedua tentang catatan sastera pengarang ini. Yang pertama berjudul Sembang Sastera: Bbersama Orang Persuratan, diterbitkan oleh Penerbitan Fajar Bakti pada tahun 1998. Kedua-dua buku ini adalah hasil tulisan beliau melalui kolumnya di Utusan Zaman dan Utusan Melayu (1993 - 2006).

Kulit buku Catatan Peritiwa Sastera terbitan terbaru Dewan Bahasa dan Pustaka

2. Kandungan Buku "Catatan Peristiwa Sastera" terbitan terbaru Dewan Bahasa dan Pustaka, November 2009 ini dikelompokkan ke dalam :
Organisasi penulis
Bicara Tokoh
Bicara Buku
Bicara Penerbitan
Politik Sastera
Bicara Cipta Sastera
Kegiatan Sastera, dan
Bicara Karya

Tebal buku ialah 370 halaman.

Saturday, 5 September 2009

DHARMA NS, 62 DIES OF HEART ATTACK

Dharmala NS dies
2009/08/13
SEREMBAN: Literary and cultural figure Abdul Muluk Daud, who is popularly known as Dharmala NS or Pak Dharma, died of heart complications in Selayang Hospital, Selangor at 8.45am yesterday. He was 62.
His wife Adiah Matlana, 54, said her husband suffered a heart attack after breakfast with family members in Taman Seri Gombak, Selangor, on Aug 4.

"He was rushed to Selayang Hospital and was treated at the hospital's cardiac care unit until his death yesterday morning."

Muluk, who was also a cultural activist, ran a blog at adimul.blogspot.com.
He is survived by his wife and six children, four of them boys, aged between 16 and 31. -- Bernama as extracted by NST, 13 August 09

PERGINYA DHAMALA NS, PENULIS ASAL JELEBU

Seniman terkemuka negara, Dharmala NS atau Abdul Muluk Daud, 62, yang juga seorang blogger meninggal dunia pada pukul 8.30 pagi tadi di Hospital Selayang akibat serangan jantung.

Abdul Muluk Daud, sasterawan Melayu terpenting menulis dalam semua genre termasuk novel, cerpen, puisi, rencana, skrip drama pentas, tv dan filem. Pemenang hadiah sastera nasional 1974 kategori cerpen. Pemenang sayembara novel Yayasan Sabah Gapena 1979 dan 1981. Pemenang hadiah cerpen Esso-Gapena 1981 dan 1982. Beliau juga ialah Ahli Jawatankuasa penyelidikan budaya Muzium Negeri Sembilan 1990-2003.

Beliau yang juga terkenal di alam siber dengan nama Pak Darma melalui blog adimul.blogspot.com adalah seorang blogger yang tekun mengemaskinikan blognya yang memuatkan tulisan-tulisan dari beberapa orang penulis dari Warga Perihatin Malaysia (PRIMA) seperti pengkritik sastera terkenal, Mohd Affandi Hassan, Kamal Amir, Yahya Ismail, Mankadir dan lain-lain.

Pak Dharma dilaporkan telah dikejarkan ke hospital mengadu sakit dada dan minta diurutkan. Beliau pada hari berkenaan baru selepas bersahur untuk menajalan puasa sunat.

"Badannya berpeluh-peluh dan kukunya sudah biru," jelas Puan Adiah, isteri Pak Dharma.

Waris Pak Dharma menyatakan, semasa di hospital, aktivis-aktivis PRIMA yang terawal menziarahi Pak Dharma adalah Hj Bakar Ninggal, Sayuti Omar, Yahya Ismail, Rashid, Rozie (isteri Dato Kamal Amir) dan juga Yassin Salleh (bapa saudara Pak Dharma). Beliau merakamkan terima kasih kepada YM Dato' Lela Maharaja Dato' Hj Muhammad Sharip bin Hj Othman (Undang Luak Rembau) kerana sudi menziarahi Pak Dharma. Begitu juga kepada rakan-rakan Pak Dharma seperti Norzah Kepol (Pengarang Buletin Rakyat) dan suami, Fadil Tan Sri Samad Idris, Fezal Khan, Liew Ah Kim (mantan Ahli Parlimen Seputeh), sahabat-sahabat dan juga jiran tetangga, ribuan terima kasih diucapkan.

Jenazah beliau akan dimandikan di Masjid Sri Gombak di sini sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya di Jelebu untuk dikebumikan petang ini. Sumber: anak rembau

KOMEN:
Demikianlah seorang demi seorang teman dalm bidang penulisan pergi menemui Sang Pencipta. Yang tinggal hanyalah warisan pesaka dalam bentuk krya dalam apa pun genrenya. Kita melihat perginya Dharmawijaya lima tahun dahulu, kemudian kita dikejutkan dengan pemergian Sahmad Malaya dari DPMP Pahang, lalu prgi pula Amil Jaya, penulis dari Sabah yang berusia 62 tahun. Usia Amil sama dengan usia Arwah Dharmala NS. Hanya Sahmad yang berusia 84 tahun ketika berpulang ke Rahmatullah. Tidak lama sebelum itu pergi dahulu Drs. Yeop Johari Yaakob, penulis Negeri Sembilan,bekas pegawai bahasa dari Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka. Amin!
Hakmilik Terpelihara Afyassin.com ©